Membaiki Monitor Samsung SyncMaster 931bw

Sebagai seorang “jack of all trades, master of none”, gua juga membuat kerja membaiki perkakas elektronik. Asalnya gua terjebak dengan kerja ni bila seorang kawan memberikan gua sebijik PC yang dah jahanam untuk dibaiki sedangkan gua takde pengalaman langsung menggodam menatang tu pada ketika itu. Beliau mempercayai gua punya kebolehan itu kerana minat gua kepada MacGyver dan melihat kreativiti gua menggodek DOS serta Windows 3.1 pada ketika itu. Meskipun gua dah mengaku yang gua tak reti sebutir habuk pasal hardware, beliau tetap bertegas dan mengatakan gua ala-ala low profile kononnya… ceh!. Maka dengan jaminan daripada kawan gua bahawa dia takkan membelasah gua jika PC tu berasap, gua akhirnya telah berjaya mengeluarkan asap pada motherboard PC tersebut kerana gua pandai-pandai cucuk kabel power untuk fan PC tu kat jumper apa tah. Main belasah ikut suka gua je… Padan muka gua dan kawan gua. Oleh kerana rasa tercabar dengan kejadian tersebut, gua pun berazam untuk belajar cara betul membaiki PC dan alat elektronik.

Berkat hasil usaha gigh belajar dengan sesiapa saja kawan yang pandai elektronik dan komputer, dan setelah pelbagai pengalaman gua tempuh, akhirnya gua berjaya menjadi seorang pembaikpulih komputer dan alat elektronik. Kali ni, gua mau kongsikan bagaimana gua mengembalikan nyawa sebuah Monitor Samsung SyncMaster 931bw milik seorang customer.

Rutin baikpulih gua dimulakan dengan menguji dan memerhati dulu monitor tu untuk mengenalpasti masalahnya. Monitor tu tak menyala langsung. Beberapa kali gua cuba on tapi tiada tindak balas. Lalu gua membuat kajian dan rujukan (bacaan internet) untuk mencari kemungkinan masalah yang kerap dihadapi oleh monitor Samsung model macam ni. Nasib gua baik, gua jumpa banyak forum mengatakan masalah yang biasa berlaku pada menatang ni adalah kapasitornya bengkak atau omputeh kata “capacitor plague” atau “bad caps”. Ia berpunca dari kapasitor tersebut yang berkualiti rendah mengakibatkan bahan elektrolit dalam kapasitor tersebut mengering hingga sarungnya panas lalu membengkak. Kadang-kadang disebabkan arus terlebih tinggi, ia boleh juga meletup macam mercun. Hati-hatilah jika ada kawan yang kuat melatah bila mendengar bunyi mercun. Hehehehe.. (apa kene mengena ntah!)

Selelah itu, bermulalah aktiviti membaraikan monitor Samsung tersebut dengan misi mencari “bad caps” berbekalkan pengalaman mengumpil dan memulas skru seperti biasa. Malas gua nak cerita panjang, lu orang tengok ajelah gambar-gambar kat bawah ni.


Buka kaki, skru dan umpil casing belakangnya
Kelebek-kelebek sampai jumpa board dia

Jumpa “bad caps” dua ketul

Cuba lu orang perhatikan bebetul, bad caps ni bukanlah kapasitor yang kita boleh kenalpasti kerana ia jahat atau nakal pada zahirnya. Tetapi ia boleh dikenalpasti kerana kelihatan menggelembung macam dua kapasitor pada gambar diatas tu. Berbanding kapasitor yang baik dan berhemah, macam yang berwarna hitam kat sebelahnya tu rata aje. Ada kalanya, bad caps ni bukan sahaja menggelembung, tapi boleh kelihatan macam bertanda hitam kesan cecair panas keluar kemudian hangus digoreng.

Jadi, bila dah jumpa tu, bolehlah kita meneruskan usaha baikpulih dengan mencairkan timah yang mengikat kaki komponen tersebut atau bahasa omputehnya desolder hingga kapasitor dapat ditanggalkan seperti gambar-gambar selanjutnya.




Tanggalkan kapasitor yang tak boleh pakai tu

Dapatkan alat ganti yang berpadanan

Kalau lu orang perati kapasitor yang gua bakal gantikan pada gambar atas tu, gua pakai kapasitor 1000uF, 16v sedangkan kapasitor asal hanya 1000uF, 10v (yang kaler biru tu). Ini kerana gua dah pusing-pusing kedai spare part tapi tak jumpa komponen yang sama. Namun ada kebaikannya juga kerana menurut didalam amalan gua, keupayaan kapasitor dengan rating voltage yang tinggi sedikit dari asal dapat menjamin kapasitor ini takkan rentung lagi dikemudian hari. Tiba-tiba gua teringat kata-kata Sudin dalam cerita Seniman Bujang LapokĀ  “Ei… menurut didalam amalan patik, tuanku akan ditimpa bahaya…”

Hoh… cukuplah melalut kot, jom sambung balik… hehehe


Solder komponen baru ke tempat asalnya dan pastikan polariti yang betul

Gambar akhir tu, adalah komponen yang telah siap dipasang menggunakan teknik solder bagi yang tak pernah tahu elektronik. Ceh, macamlah lu orang tak pernah belajar kemahiran hidup kan… malaslah gua nak cerita lebih. Dah siap tu, gua pun membersihkan persekitaran kerja gua supaya takde benda tajam mahupun wayar berselirat yang akan menjerat kaki gua ketika melarikan diri apabila berlaku perkara tak diingini. Langkah keselamatan tu jangan lupa ya.

Setelah selesai membersihkan sampah-sampah yang gua sepahkan ketika kerja ini dilakukan, gua pun pasang balik monitor Samsung ni dan uji hasil kerja gua. Seperti biasa, aktiviti pengujian dimulakan dengan Bismillah dan hati yang suspen… Alhamdulillah, monitor ini menyala dan gambar dipaparkan dengan cantik sekali (lupa pulak nak ambik gambar). Gua test lagi monitor ni dengan menyalakannya semalaman atau cikgu gua kata “kasi goreng dia semalaman” untuk melihat kalau-kalau dia akan berasap. Alhamdulillah sekali lagi, second test pun selesai dan gua pun bungkus monitor ni untuk dihantar pulang ke rumah tuan empunyanya dengan hati gumbira.

Kesimpulan cerita panjang lebar gua ni, panduan atas tu cukup jelas kot kalau lu orang nak bikin sendiri kerja macam ni, namun bersedia dan berani-beranilah mengorbankan perkakas elektronik lu andai berlaku kecuaian ketika aktiviti seperti ini dilakukan. Atau lebih afdol lagi, baik lu suruh je gua bikin… gua cas murah-murah aje kot. Harga kenkawan macam biasa lah kan?